Ucapan Aluan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Sepang

Assalamualaikum wr. Wbt. Dan salam sejahtera.

Yang Berusaha saudara / saudari pengerusi majlis,

Yang Berhormat Puan Elizabeth Wong, Pengerusi, Jawatankuasa Tetap Teknologi Hijau, Alam Sekitar, Pelancongan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor

Y.D.M Tengku Dato‘ Dr. Jamaluddin bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj, Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sepang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk Zon Cyberjaya

Yang Dihormati Datin Hajjah Noraida Saludin, Director Low Carbon City Sustainability Centre (LCCSC), Malaysian Institute of Planners (MIP) merangkap Perunding Kajian Cyberjaya : Smart & Low Carbon City 2025

Yang Dihormati, Semua Ahli-Ahli Majlis, Jabatan Teknikal Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah. Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor dan Malaysia, Stakeholder di Cyberjaya, Pemaju-Pemaju, Perunding Profesional, Kontraktor-kontraktor, Institusi Pengajian Tinggi, Komuniti Cyberjaya serta semua yang hadir pada pagi ini.Terlebih dahulu saya ingin melafazkan syukur dan merakamkan ribuan terima kasih kepada YBhg Dato’, Tuan/Puan yang dapat hadir ke Seminar ‘Smart City@Sepang’ pada hari ini khususnya kepada Yang Berhormat Puan Elizabeth Wong kerana sudi menerima jemputan MPSepang untuk melancarkan Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya sebentar lagi. Sebagaimana yang kita sedia maklum pada tahun 2009 Cyberjaya telah dipilih sebagai pelopor atau perintis bandar hijau di Malaysia dan akan menjadi model kepada pembangunan bandar-bandar lain di Malaysia.

Bermula detik itu pelbagai usaha dan program telah dilaksanakan oleh MPSepang sebagai langkah mewujudkan bandar hijau di Cyberjaya. Antaranya :

  • Menggalakkan pembinaan ‘Green Building’ untuk memastikan kemampanan dalam rekabentuk alam binaan ;
  • Mewujudkan kejiranan hijau (green neighbourhood) iaitu menggalakkan pembangunan bercampur atau pembangunan padat yang mengurangkan pergerakan, seterusnya mengurangkan pembebasan karbon ;
  • Menyediakan ‘Bicycle Network’ dan ‘storage’ bagi menggalakkan penduduk berbasikal dengan selamat ;
  • Menggalakkan ‘Urban Farming’ atau ‘Community Garden’ di kawasan bandar oleh komuniti bandar ;
  • Penyediaan ‘rangkaian hijau’ melalui penanaman pokok-pokok di sepanjang jalan dan penyediaan rangkaian kawasan hijau yang luas seperti taman rekreasi dan orang awam ;
  • Memberikan rebat cukai taksiran sebanyak lima (5) peratus kepada Pemaju-pemaju yang mendapat persijilan hijau.

Selain daripada program berkaitan ‘Low Carbon City’, MPSepang sekali lagi mengorak langkah ke hadapan dengan melaksanakan program ‘Smart City’ selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk mencapai ‘Smart Selangor’ pada tahun 2025.

Bagi memperkasa lagi kedua-dua inspirasi ini, MPSepang telah menyediakan ‘Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya’. Saya merasakan kedua-dua elemen ini adalah saling berkait dan perlu digabungkan di dalam satu (1) dokumen untuk mewujudkan satu bandar yang mampan untuk didiami dan seterusnya dapat diwariskan kepada generasi akam datang.

Saya berharap, taklimat daripada pihak Perunding pada pagi tadi berkaitan Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya telah menjelaskan secara terperinci berkaitan program dan strategi yang telah dan akan dilaksanakan oleh MPSepang bersama-sama rakan kolaborasi.

Suka saya maklumkan juga MPSepang telah mensasarkan pengurangan karbon sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030. Insya Allah saya yakin sasaran ini boleh dicapai dengan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak terutama rakan kolaborasi pihak Majlis.

Jika dilihat pada masa ini Cyberjaya sedang pesat membangun dan terdapat banyak kerja-kerja pembinaan sedang rancak berjalan di tapak bina. Oleh itu, peranan tuan/puan sebagai pemaju amat penting untuk sama-sama melaksanakan Green Building, bukan sahaja daripada aspek rekabentuk tetapi juga memastikan kerja-kerja di tapak bina dapat menggunakan sistem teknologi terkini bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Bermula daripada bangunan hijau dan disokong pula oleh ‘Smart Infrastruktur’, saya yakin akan membentuk ‘green and smart life style‘ dalam komuniti Cyberjaya dan Sepang amnya.

Saya juga berharap Seminar ‘Smart City@Sepang’ akan menjadi platform untuk kita sama-sama berkongsi pengalaman dan cadangan-cadangan baru dalam melaksanakan bandar pintar dan rendah karbon.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk memaklumkan bahawa  sistem penyampaian MPSepang telah ditambah baik melalui penyediaan satu (1) senarai semak OSC yang baru bagi membantu dan memudahkan permohonan pembangunan di Daerah Sepang. Saya berharap tuan/puan terutamanya pihak perunding dapat memberikan maklum balas berkaitan senarai semak yang baru tersebut.

Harapan saya semoga sokongan dan kerjasama ini dapat berterusan kearah menjadikan Daerah Sepang termasuk bandar Cyberjaya ke arah sebuah perbandaran yang bersih, hijau dan sejahtera.

Sekali lagi, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran dan juga penyertaan Seminar ‘Smart City@Sepang’ pada kali ini dan akhir kata saya sudahi dengan 
..

Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dato’ Puasa bin Md Taib,
Yang DiPertua,
Majlis Perbandaran Sepang
28 November 2017