Ucapan Perasmian YB Elizabeth Wong, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Teknologi Hijau, Alam Sekitar, Pelancongan dan Ehwal Pengguna Negeri Selangor

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Yang Berusaha saudara / saudari pengerusi majlis,

Yang Dihormati, Dato’ Puasa Md Taib, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sepang

Y.D.M Tengku Dato‘ Dr. Jamaluddin bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj, Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sepang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk Zon Cyberjaya. Yang dihormati YBhg Datin Noraida Saludin, Director Low Carbon Cities & Sustainability Centre (LCCSC), Malaysian Institute of Planners (MIP)

Yang Dihormati, Semua Ahli-Ahli Majlis, Ketua Jabatan Majlis Perbandaran Sepang, Jabatan Teknikal Peringkat Persekutuan dan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor dan Malaysia, Stakeholder di Cyberjaya, Pemaju-Pemaju, Perunding Profesional, Kontraktor-kontraktor, Komuniti Cyberjaya, Institusi Pengajian Tinggi, rakan-rakan Kolaborasi serta semua yang terlibat dalam pembangunan di Daerah Sepang amnya dan Cyberjaya khususnya.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Sepang kerana menjemput saya untuk turut serta dan seterusnya merasmikan Seminar ‘Smart City@Sepang’ serta melancarkan Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya. Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada pihak MPSepang kerana telah berjaya menghasilkan satu (1) Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2030. Saya difahamkan bahawa Pelan Tindakan ini menggabungkan aspek bandar pintar dan bandar rendah karbon khususnya bagi bandar Cyberjaya. Saya juga mengambil maklum bahawa pihak MPSepang berusaha untuk memberikan satu penjenamaan baru kepada projek atau pembangunan di Daerah Sepang seperti pemasangan ‘Hollywood Signage’ yang terletak di pintu masuk utama Cyberjaya iaitu Cyberjaya@Sepang, pembangunan Anjung Selera@Sepang dan juga pembangunan bandar pintar di Daerah Sepang iaitu Smart City@Sepang. Penjenamaan sebegini diharapkan dapat meransangkan lagi ekonomi serta kualiti hidup penduduk.

Saya juga mengambil maklum bahawa penyediaan Pelan Tindakan yang disediakan oleh pihak MPSepang ini juga telah mengambilkira Pelan Tindakan Teknologi Negeri Selangor (Disediakan oleh Jawatankuasa Tetap Teknologi Hijau Negeri Selangor) dan ‘Blueprint’ Smart Selangor (Disediakan oleh SSDU, MBI) serta Low Carbon Cities Framework (Disediakan oleh KeTTHA).

Saya juga dimaklumkan bahawa Seminar yang diadakan oleh MPSepang ini merupakan Seminar kali ketiga (3) yang telah diadakan oleh MPSepang berkaitan dengan pembangunan bandar rendah karbon iaitu Seminar pertama pada tahun 2012, seminar kedua pada tahun 2014 dan seminar ketiga pada hari ini (tahun 2017). Saya juga mengambil maklum bahawa pihak MPSepang juga telah mengadakan Expert Talk bersama Low Carbon Cities & Sustainability Centre (LCCSC), MIP untuk memperkasa pengetahuan kepada pegawai-pegawai di peringkat MPSepang. Saya yakin, untuk melaksanakan konsep bandar rendah karbon ini, pengetahuan di peringkat pegawai khususnya di peringkat PBT amat penting. Pendedahan perlu diberikan supaya pelaksanaan dapat memberikan impak kepada komuniti.

Saya juga ingin merakam penghargaan kepada seorang pegawai daripada MPSepang yang telah berjaya mendapat persijilan ABORIS baru-baru ini. Daripada 24 orang calon dan hanya seorang calon sahaja mendapat persijilan iaitu pegawai daripada MPSepang. Pihak Kerajaan Negeri amat menghargai usaha-usaha pegawai sebegini.

Hadirin sekalian, Proses untuk memberikan kesedaran kepada semua pihak mengenai kepentingan perlaksanaan teknologi hijau atau konsep ‘Smart City’ dan ‘Low Carbon City’ ini bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan usaha yang berterusan. Pelbagai kempen dan kolaborasi telah diadakan bagi memastikan peratusan karbon dapat dikurangkan. Pengurangan karbon ini juga secara tidak langsung dapat menjimatkan kos operasi PBT serta meningkatkan kualiti alam sekitar.

Sidang hadirin sekalian, sebagaimana sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor pada 2 Ogos 2016. Pelan Tindakan Teknologi Hijau peringkat negeri ini memfokuskan kepada lima (5) sektor utama iaitu Tenaga, Pengangkutan, Bangunan, Air dan Pengurusan Sisa yang mengandungi lapan (8) tindakan utama iaitu Perbandaran Hijau Melalui Bandar Rendah Karbon Selangor, Perolehan Hijau Kerajaan, Pemasangan Rangkaian Pengecas Kenderaan Elektrik Di Selangor, Penggunaan Kereta Elektrik Sebagai Kenderaan Rasmi Kerajaan Negeri Selangor, Penggunaan Bas Elektrik Bagi Program ‘Bas Percuma’ Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan, Pemasangan Bumbung Solar Bagi Projek Perumahan Selangorku, Bangunan Cekap Tenaga Di Bangunan Kerajaan Negeri Selangor dan Program Penghijauan Taman Industri. 

Saya juga yakin ‘Blueprint Smart Selangor’ yang mengandungi 12 Domain mempunyai perkaitan secara langsung dengan Pelan Tindakan Teknologi Negeri Selangor (Compliment each other | Saling Memerlukan Antara Satu Sama Lain).

Dikesempatan yang ada ini juga, saya ingin merakamkan penghargaan tahniah kepada pihak Majlis Perbandaran Sepang kerana telah berjaya merangkul emas di Geneva dalam Inisiatif Alam Sekitar iaitu Aedes Bio Based Fuel (ABBF) dengan kolaborasi bersama  FRIM dan juga Flexi Parking dalam inisiatif Smart City.

Pihak Majlis mengambil maklum, terdapat banyak inisiatif pelaksanaan Smart City dan Low Carbon City yang dilaksanakan oleh pihak Stakeholder dan juga pemaju-pemaju secara sukarela. Justeru, pihak MPSepang merasakan amat penting untuk penyelarasan diadakan supaya tidak berlakunya pertindihan dan perkhidmatan dapat diberikan secara cekap kepada orang awam khususnya. Pihak Majlis juga merasakan inisiatif dan sumbangan mereka ini diberikan penghargaan samada dalam bentuk insentif yang sesuai dengan kerjasama pihak Kementerian dan juga Kerajaan Negeri.

Saya yakin bahawa pembangunan Mobile Apps atau pelbagai teknologi hijau perlu disokong oleh masyarakat atau penduduk yang juga berfikiran pintar (Smart People). Smart City dan gaya hidup rendah karbon, bukan hanya bergantung kepada berapa banyak teknologi dan Mobile Apps yang dihasilkan tetapi penggunaan Apps yang cekap dan penggunaan tenaga yang berhemah serta gaya hidup, amalan hijau dan pintar adalah perlu dipupuk di peringkat kanak-kanak hingga dewasa. Justeru itu, saya menyokong segala usaha bagi memastikan semua pihak mengetahui apa itu Smart City dan ‘Low carbon Cities’ serta cara mengaplikasikannya.

Saya juga ingin merakam terima kasih juga kepada semua Ahli-ahli Majlis yang juga berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk supaya penduduk juga dapat memahami konsep-konsep bandar pintar dan rendah karbon untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Para hadirin sekalian,

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Seminar ‘Smart City@Sepang’ dan pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2025. Kerajaan Negeri mensasarkan empat (4) buah PBT akan diiktirafkan sebagai bandar hijau menjelang tahun 2030 dan diharapkan bandar Cyberjaya atau lain-lain bandar yang mewakili MPSepang terpilih bagi pengiktirafan tersebut.

Sekali lagi saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan memberi komitmen dan sokongan kepada agenda pengaplikasian teknologi hijau di dalam urusan pentadbiran, program dan projek. Saya dengan ini merasmikan Seminar ‘Smart City@Sepang’ dan pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2025.

Sekian, terima kasih.